Monday, August 13, 2007

PRU : Guna Dakwat

Dakwat kuku pilihan raya umum ini

PUTRAJAYA 13 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memutuskan untuk menggunakan tanda dakwat di kuku atau jari tangan pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, keputusan untuk menggunakan dakwat khas dari India itu, yang sukar dipadamkan untuk beberapa hari, adalah selaras dengan kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan minggu lepas, membenarkan penggunaannya yang tidak melanggar hukum syarak.

Sehubungan itu, SPR sedang menyediakan garis panduan untuk petugas di tempat-tempat mengundi di seluruh negara.

“Walaupun penggunaan tanda dakwat itu mungkin tidak akan berkesan sepenuhnya untuk membanteras penipuan, jika ada, khususnya bagi kes penyamaran untuk mengundi bagi pihak orang mati, namun penggunaan tanda dakwat itu diharapkan dapat mengurangkan usaha pihak tertentu untuk menggunakan isu pengundi hantu sebagai gimik politik atau usaha untuk menjatuhkan imej SPR,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan untuk membenarkan penggunaan dakwat khas itu selepas keputusan Jabatan Kimia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati ia tidak mengandungi bahan najis yang boleh merosakkan ibadat umat Islam.

Sebelum ini, SPR mengumumkan cadangan untuk menggunakan dakwat khas itu untuk menanda kuku atau jari pengundi bagi mengelakkan penipuan dalam pilihan raya umum akan datang.

Abdul Rashid berkata, dari segi cara penggunaannya, kerani (kedua) di tempat mengundi akan mencalit dakwat itu pada kuku atau jari telunjuk tangan kiri selepas identiti pemilih dipastikan oleh kerani (pertama).

Kerani ketiga pula akan memberikan kertas undi yang telah ditindik selepas tanda kuku selesai dibuat oleh kerani kedua.

“Bagi pengundi yang tidak ada jari, cap dibuat atas tunggul lengan bagi menentukan dia sudah mengundi,” katanya.

Beliau berkata, tanda dakwat itu tidak terpakai bagi pengundi pos yang turut sudah ada pelbagai pengisytiharan untuk menentukan kesahihannya.

Abdul Rashid menjelaskan bahawa kerani pertama yang bertanggungjawab menyemak kad pengenalan pengundi, akan turut memeriksa jari pengundi untuk menentukan sama ada mereka sudah mengundi sebelum itu dan jika pengundi memakai cat pada kuku, dakwat (SPR) itu akan ditandakan pada jari.

Bagaimanapun, beliau menggalakkan pengundi tidak menggunakan cat pada kuku semasa hari mengundi.

Abdul Rashid berkata, penggunaan tanda dakwat berwarna hitam itu membabitkan kos kurang daripada RM1 juta dan ia sangat efektif kerana tidak mudah luntur seperti yang digunakan oleh beberapa negara.

Abdul Rashid berkata, penggunaan dakwat itu bagi memuaskan hati semua pihak kerana selepas pilihan raya tahun 2004, terdapat pelbagai desakan oleh beberapa parti politik agar SPR mewujudkan suatu kaedah untuk menyekat perbuatan yang dianggap sebagai penipuan di dalam proses pengundian.

“Dalam pilihan raya, ada kemungkinan terdapat tiga bentuk penipuan yang mungkin (atau didakwa) cuba dilakukan iaitu penyamaran dengan cara menggunakan kad pengenalan pengundi yang telah meninggal dunia, penyamaran dengan menggunakan kad pengenalan orang lain yang namanya ada dalam daftar pemilih dan mengundi dua kali (menggunakan kad pengenalan berbeza di dua tempat),” katanya.

– Bernama

No comments: