Monday, August 20, 2007

SECEBIS KISAH UNTUK RENUNGAN (Kisah ini mengenai sesiapa yang masih hidup dan yang telah mati) Seorang ahli majlis perbandaran mengunjungi mengunjungi rakannya yang merupakan seorang wakil rakyat di rumah rakannya. Lalu dia berkata.. “Engkau kan baru sahaja sepenggal menjadi wakil rakyat... tapi kereta ada 5 buah?” Rakannya hanya tersenyum dan membawa ahli majlis tadi menghampiri jendela untuk menunjuk keluar. “Engkau lihat itu... jambatan besar di sebelah sana?” tanyanya. Ahli majlis tadi mengangguk. “Nah, itu sepuluh peratus” kata rakannya.. Ahli majlis tadi mengerti yang 10% dana pembangunan jambatan lari ke poket rakannya. Minggu berikutnya wakil rakyat tersebut pula mengunjungi ahli majlis tadi di rumahnya dan juga berkata.. “Engkau kan ahli majlis sahaja.. tapi lebih hebat ye... Rumah macam istana... kereta 15 buah...” kata rakannya. Ahli majlis membawa rakannya menghampiri jendela. Ia menunjuk keluar sambil berkata.. “Engkau lihat masjid baru di sebelah sana?” Rakannya tercari-cari ke arah yang ditunjukkan, tapi tidak melihat adanya masjid... “Mana, tak ada pun...” tanya rakannya.. Pegawai tadi menepuk dada sambil berkata.. “Nah, itu seratus peratus... “ Hari ini dalam sejarah: Sebuah jambatan baru berharga RM 1.2 juta telah siap dibina menggantikkan jambatan lama yang rosak teruk. Jambatan yang menghubungi Pekan Bangi dengan Kampung Batu 6 siap dibina dalam tempoh setahun menggunakan tenaga kerja hanya 3 orang. Seorang kontraktor yang enggan dikenali memberitahu kos RM 1.2 juta itu hampir 3 kali ganda dari jumlah sebenar. Mungkin inilah jawapan sebenar disebalik isu kenaikkan cukai . Pihak tertentu mengaut keuntungan dan betopengkan pembangunan. Rakyat yang mudah alpa dan mudah digulakan mengeluh pada kesempitan hidup serta wang yang tidak pernah cukup. Bangi kita tidak sewangi seperti dulu lagi. (Maklumat yang diperolehi kemudian - rupanya kontraktor yang enggan dikenali itu turut membida projek tersebut namun gagal. Tender jatuh kepada sebuah syarikat kontraktor yang kemudian mengali-babakan projek pembinaan jambatan tersebut)

Monday, August 13, 2007

PRU : Guna Dakwat

Dakwat kuku pilihan raya umum ini

PUTRAJAYA 13 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memutuskan untuk menggunakan tanda dakwat di kuku atau jari tangan pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, keputusan untuk menggunakan dakwat khas dari India itu, yang sukar dipadamkan untuk beberapa hari, adalah selaras dengan kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan minggu lepas, membenarkan penggunaannya yang tidak melanggar hukum syarak.

Sehubungan itu, SPR sedang menyediakan garis panduan untuk petugas di tempat-tempat mengundi di seluruh negara.

“Walaupun penggunaan tanda dakwat itu mungkin tidak akan berkesan sepenuhnya untuk membanteras penipuan, jika ada, khususnya bagi kes penyamaran untuk mengundi bagi pihak orang mati, namun penggunaan tanda dakwat itu diharapkan dapat mengurangkan usaha pihak tertentu untuk menggunakan isu pengundi hantu sebagai gimik politik atau usaha untuk menjatuhkan imej SPR,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan untuk membenarkan penggunaan dakwat khas itu selepas keputusan Jabatan Kimia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati ia tidak mengandungi bahan najis yang boleh merosakkan ibadat umat Islam.

Sebelum ini, SPR mengumumkan cadangan untuk menggunakan dakwat khas itu untuk menanda kuku atau jari pengundi bagi mengelakkan penipuan dalam pilihan raya umum akan datang.

Abdul Rashid berkata, dari segi cara penggunaannya, kerani (kedua) di tempat mengundi akan mencalit dakwat itu pada kuku atau jari telunjuk tangan kiri selepas identiti pemilih dipastikan oleh kerani (pertama).

Kerani ketiga pula akan memberikan kertas undi yang telah ditindik selepas tanda kuku selesai dibuat oleh kerani kedua.

“Bagi pengundi yang tidak ada jari, cap dibuat atas tunggul lengan bagi menentukan dia sudah mengundi,” katanya.

Beliau berkata, tanda dakwat itu tidak terpakai bagi pengundi pos yang turut sudah ada pelbagai pengisytiharan untuk menentukan kesahihannya.

Abdul Rashid menjelaskan bahawa kerani pertama yang bertanggungjawab menyemak kad pengenalan pengundi, akan turut memeriksa jari pengundi untuk menentukan sama ada mereka sudah mengundi sebelum itu dan jika pengundi memakai cat pada kuku, dakwat (SPR) itu akan ditandakan pada jari.

Bagaimanapun, beliau menggalakkan pengundi tidak menggunakan cat pada kuku semasa hari mengundi.

Abdul Rashid berkata, penggunaan tanda dakwat berwarna hitam itu membabitkan kos kurang daripada RM1 juta dan ia sangat efektif kerana tidak mudah luntur seperti yang digunakan oleh beberapa negara.

Abdul Rashid berkata, penggunaan dakwat itu bagi memuaskan hati semua pihak kerana selepas pilihan raya tahun 2004, terdapat pelbagai desakan oleh beberapa parti politik agar SPR mewujudkan suatu kaedah untuk menyekat perbuatan yang dianggap sebagai penipuan di dalam proses pengundian.

“Dalam pilihan raya, ada kemungkinan terdapat tiga bentuk penipuan yang mungkin (atau didakwa) cuba dilakukan iaitu penyamaran dengan cara menggunakan kad pengenalan pengundi yang telah meninggal dunia, penyamaran dengan menggunakan kad pengenalan orang lain yang namanya ada dalam daftar pemilih dan mengundi dua kali (menggunakan kad pengenalan berbeza di dua tempat),” katanya.

– Bernama

Sunday, July 29, 2007

Calon wakil rakyat Bangi N26

Oleh : Putera Bangi Menjelang pilihanraya umum ke 12 yang mungkin diadakan sekitar bulan September 2007 sehingga bulan Mac 2006, jentera pilihanraya telah mula digerakkan. Semua yang berhajat menjadi calon mula melobi dan belajar senyum 24 jam. Di Bangi pembesar UMNO mula merasmikan itu ini. Pembangunan dirancakkan berselang seli dengan kesebokkan pihak Syabas mengali dan menutup kembali tanpa sempurna. Kontraktor yang sebelum ini bermuka kelat ketandusan projek membariskan senyuman tawar dan mula menghitung keuntungan setelah ditolak sumbangan yang harus diberikan pada pihak tertentu. Bangi N26 diwakili oleh Dr Amran Kasimin dari UMNO, bekas pensyarah UKM dan lebih dikenali dalam hal berkaitan jin serta hantu. Beliau mengalahkan calon PAS, Dr. Shafie Abu Bakar yang khabarnya adalah rakan sejawatan di UKM. Majoriti 3728 adalah satu angka yang besar berbanding kemenangan Dr. Shafie , mantan ADUN Kajang yang cuma memenangi DUN Kajang dengan majoriti 37 mengalahkan Chong Tow Chong , wakil MCA. Penglibatan Dr. Amran Kasimin dalam kancah politik adalah sebagai bidan terjun. Beliau bukan datang dari grass root UMNO bahkan rakan-rakannya semuanya adalah dari parti PAS. Dato Dr Harun Din dan Darul Shifa adalah nama yang sinonim dengan Dr Amran Kasimin. Beliau tidak mengetahui namanya dicalonkan sehinggalah beberapa jam sebelum penamaan calon. Pada malam sebelum penamaan calon beliau turut menyumbang sejumlah wang sebagai derma perjuangan kepada Dr Shafie calon PAS. Untuk berdepan dengan calon PAS, pendekatan yang digunakan oleh UMNO ialah mebariskan calon yang berlatar belakang ugama. Nama Dato’ Zaidi yang dicanangkan sebagai calon tenggelam walaupun mempunyai kerjaya sebagai peguam syarie’. Beliau yang sebelum itu aktif dalam UMNO Bahagian Puchong dilihat kurang popular berbanding Dr Amran Kasimin yang menetap di Sg Merab, dalam Parlimen Sepang. Dato’ Zaidi yang begitu dikenali dikalangan orang UMNO Bangi telah membawa pembaharuan dalam organisasi UMNO kerana telah mengaktifkan kembali cawangan UMNO yang hampir berkubur sebelum itu. Usaha beliau memacakkan papan tanda baru pada setiap cawangan UMNO samada masih wujud atau tidak dilihat sebagai satu strategi awal memberitahu masyarakat bahawa UMNO masih relevan di Bangi. Selepas menjadi ADUN Bangi nama Dr Amran Kasimin tenggelam disebalik ketokohan Dato’ Zaidi. Banyak program yang diadakan seolah menonjolkkan Dato’ Zaidi sebagai calon ADUN Bangi bagi pilihanraya akan datang. Sikap ‘kedekut’ dan kurang turun padang pada Dr Amran menyebabkan pengundi memilih Dato’ Zaidi untuk sebarang urusan. Kalangan ahli UMNO sendiri kurang senang dengan Dr Amran Kasimin dan seperti yang diduga Dr Amran tersisih antara rakan-rakannya yang terdiri dari penyokong PAS dan juak-juak UMNO yang mengharapkan imbuhan.­ Walaupun telah jelas calon N26 berpihak kepada Dato’ Zaidi, namun dipihak Dr Amran pula berpendapat keterlibatan Dato’ Zaidi tidak mempunyai apa-apa kelebihan kerana yang penting ialah siapa mempunyai hubungan yang lebih rapat dan mendapat kepercayaan DS Khir Toyo. Disebalik dua nama tersebut, desas-desus juga kedengaran muncul seorang tokoh lagi yang bakal mencuba nasib sebagai calon. Beliau kononya mempunyai hubungan rapat dengan ‘orang ditingkat 4’. Sudah menjadi rahsia umum akan berkuasanya orang ditingkat 4 ini dalam poltik Malaysia. Cuma namanya agak kabur kerana ‘low profile’. Dengar cerita sudah menyediakan jentera sendiri dan bijak dalam percaturan politik. Sama-samalah kita menanti kemunculannya disaat akhir. (Cuma teringat peristiwa dimana Dr Amran Kasimin dimalukan oleh murid-muridnya sendiri di Darul Shifa’ sejurus beliau menjadi ADUN Bangi dan cuba menconggak kemanakah Dr Amran Kasimin sekiranya tidak menjadi calon. Mungkin menjadikan Dato’ Sharif Jajang jiran setempat untuk rakan berbicara. Untuk makluman Dato’ Sharif Jajang masih lagi menhadapi perbicaraan makhamah. Kehadirannya ditempat awam tidak lagi diperdulikan seolah-olah tidak kenal, berbeza semasa menjadi wakil rakyat dahulu. Kesian dia)

Monday, July 16, 2007

Council Home - Tempat Pelacuran ???

Pendedahan ‘Council Home’ di Bangi timbul kemarahan pihak terlibat
Saidah Hairan Mon | Jul 16, 07 | 02:29:47 PM
KUALA LUMPUR, 16 Julai (Hrkh) - Pendedahan perumahan `Council Home' yang dikhususkan untuk ibu-ibu tunggal dan orang miskin tetapi dijadikan `rumah hinggap' lelaki tempatan dan luar negara memuaskan nafsu bersama pelacur dibawa dari luar telah mencetuskan kemarahan pihak yang terlibat dengan projek perumahan tersebut.
Pendedahan itu disiarkan dalam Harakah keluaran Bil.1338 dalam ruangan fokus pilihan raya Selangor.
Mantan Adun Kajang, Dr Shafie Abu Bakar yang bersama Harakah ketika membuat tinjauan, telah diugut oleh pihak berkenaan melalui talian telefon bimbit.
Beliau yang dihubungi Harakahdaily memaklumkan, pihak yang mengugutnya berkata, "Pasal apa bongkarkan kes di perumahan tersebut."
Pendedahan Harakah itu juga telah menggembirakan sebahagian besar penduduk yang tinggal di perumahan tersebut dan masyarakat sekeliling.
`Council Home' di Jalan 6C, Bandar Baru Bangi itu mempunyai tujuh blok tetapi hanya dua blok diperuntukkan kepada ibu-ibu tunggal dan orang miskin.
Shafie kesal kerana kegunaan `Council Home' itu telah diselewengkan di mana lima blok telah dijual kepada orang luar dan ada unit blok disewakan dengan harga RM400 seunit.
Sedangkan kata beliau, `Council Home' itu disewakan kepada ibu-ibu tunggal dan orang miskin dengan kadar RM250 seunit.
"Blok yang dikhususkan kepada ibu tunggal dan orang miskin sepatutnya ada 200 unit tetapi hanya 30 ruang sahaja yang diberi peluang duduk di situ," katanya.
Menurut Shafie, ‘Council Home’ itu di bawah pentadbiran `Hikmah Teguh' dipengerusikan oleh Haji Tarmizi dan Penolongnya Haji Najmuddin.
Bagaimanapun, katanya, yang menguasai ‘Council Home’ itu adik ipar Menteri Besar Selangor, Zawiyah Awang Kechik.
Beliau mendakwa Zawiyah seolah-olah mengawal segala urusan dan pentadbiran `Council Home' kebetulan pula suaminya yang dikenali sebagai Pak Andak menjadi kontraktor dan tinggal di situ.
`Council Home' itu seolah-olah dihantar oleh Khir Toyo untuk adik iparnya," katanya.
Beliau berkata, `Council Home' itu juga turut dihuni oleh pekerja luar negara dari Nepal, India, Mynmar, Vietnam dan sepatutnya ibu tunggal itu perlu diasingkan bukan duduk sekali dengan orang luar.
*Harakah akan meneruskan pendedahan pada keluaran akan datang. - lanh

Persempadanan Semula - Siapa Untung ??

Kami bantah SPR!!!
Dr Shafie Abu Bakar Fri | Jul 13, 07 | 04:10:29 PM
Pindaan persempadanan pilihan raya adalah sesuatu yang biasa dilakukan. Artikel 113 (2)(ii) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa persempadanan pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen boleh dipinda antara lapan hingga 10 tahun sekali.
Pindaan terakhir ialah pada 1 Mei 2003. Pindaan ini walaupun banyak pihak tidak berpuas hati, khususnya dari parti-parti pembangkang. Antaranya kerana pindaan berpihak dan menguntungkan BN, misalnya pertambahan kerusi pada peringkat DUN dan Parlimen hanya berlaku di negeri-negeri yang bukan didominasi orang-orang Melayu, manakala negeri-negeri yang ramai orang Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kurang atau tidak diberi pertambahan. Ianya semata-mata bermotif politik agar kerusi yang mampu dikuasai PAS tidak bertambah dan cuba menghalang Pas dari menguasai negeri-negeri.
Walaupun rasa tidak puas hati ini disuarakan bahkan dibantah, tetapi oleh kerana pindaan itu dibuat menurut peruntukan perlembagaan dan dalam tempoh yang dibenarkan, maka walau bagaimana dibantah, pindaan persempadanan yang menguntungkan BN itu tetap diluluskan menurut kemahuan BN. Keadaan yang sama juga berlaku pada peringkat Parlimen dan DUN. Misalnya sebelum pindaan 2003 Bangi terletak di bawah DUN Kajang dalam Parlimen Hulu Langat dilihat adalah wajar, kerana dari segi pentadbiran pun sememangnya Bangi dan DUN Kajang berada di dalam Daerah Hulu Langat, begitu juga dengan kedua-dua DUN yang lain, iaitu Semenyih dan Dusun Tua memang berada di dalam Parlimen Hulu Langat. Namun pindaan persempadanan Mei 2003 memperlihatkan keanehan dan ketidakwajaran. Misalnya Bangi yang dijadikan sebuah DUN bukan saja berada di Hulu Langat dan menjadi pusat pentadbiran Hulu Langat dengan Pejabat Daerah dan pejabat-pejabat yang lain bagi Hulu Langat berada di Bangi, diletak di bawah Serdang yang pentadbiran Serdang terletak di bawah Daerah Subang Jaya.
Persempadanan DUN Bangi di garis sempadan begitu rupa agar lebih berpihak kepada BN. Sekali lagi walaupun timbul rasa tidak puas hati, terutama dari kalangan parti pembangkang, tetapi oleh kerana ianya dibuat dalam tempoh yang dibenarkan oleh perlembagaan, maka suka tidak suka, maka itulah yang diterima dan perlu dihadapi.
Manipulasi Politik
Persoalan persempadanan sebelum pilihan raya kesebelas 2004, perjalanan pilihan raya 2004 yang kelam kabut yang di Selangor berlakunya pertambahan masa mengundi selama dua jam, perubahan tempat mengundi dan kelainan penggunaan buku daftar pemilih menjadi isu yang menyebabkan rasa tidak puas hati terutama di kalangan parti-parti pembangkang, manakala di Terengganu peningkatan peratus keluar mengundi yang tinggi, pertambahan pengundi termasuk dari luar melebihi 60,000 yang menyebabkan berlakunya peningkatan peratusan pendaftaran pengundi di negeri itu sebanyak 19% berbanding peningkatan peringkat nasional hanya 7% menjadi tandatanya dan SPR dipersoalkan.
Di tempat-tempat lain persoalan kemasukan pengundi tanpa alamat secara jelas dan sukar dikenal pasti, pengeluaran pengundi dari tempat mengundi asal ke kawasan dan DUN mengundi yang lain tanpa izin dan sebaliknya yakni pengundi dari tempat lain dimasukkan ke kawasan mengundi lain bukan atas permintaan biasa berlaku. Rasa tidak puas hati ini bukan sahaja datang dari parti-parti politik pembangkang, tetapi juga dari NGO-NGO dan penyelidik-penyelid ik. Lantaran itu timbul dari parti-parti politik pembangkang, NGO-NGO yang antaranya bersatu di bawah badan yang dikenali dengan BERSIH, mendesak agar SPR membersihkan daftar pemilih, menghapuskan pengundi pos dan menggunakan kaedah yang mempastikan pengundi tidak mengundi lebih dari sekali seperti kaedah mencelup jari pengundi dengan dakwat. Dari desakan kalangan yang tidak berpuas hati berhubung dengan perjalanan pilihan raya yang tidak memuaskan ini Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pernah tunduk dan mencadangkan agar diwujudkan Suruhanjaya yang mengkaji SPR dan membuat cadangan-cadangan memperbaikinya, namun cadangannya tidak diterima oleh pemerintah dengan menganggap perjalanan SPR kini adalah baik, kerana menguntungkan mereka.
Isu DUN Kajang dan Bangi
Menurut jangkaan kita, setelah menghadapi kritikan yang hebat dari pembangkang dan NGO-NGO, pihak SPR lebih berhati-hati dan mengelak diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan kontroversi. Jangkaan sedemikian sebenarnya meleset. Di tengah-tengah desakan agar SPR bersifat bersih, telus dan adil, ianya tetap didalangi dan diperkuda pihak BN bagi kepentingan politik mereka. Ianya mungkin tidak disedari jika tidak diteliti. Contohnya Isu DUN Kajang dan Bangi.
Setelah berlalunya pilihan raya Mac 2004 dalam mana DUN Bangi menjadi DUN tersendiri yang terletak di bawah Parlimen Serdang yang dipisah dari DUN Kajang yang terletak di bawah Parlimen Hulu Langat, maka bagi memperkasakan DUN Bangi yang baru diwujudkan pihak PAS Bangi berusaha menjalankan `Pemutihan Ahli` dan juga kajian terhadap Daftar Pemilih.
Dari kajian kita menyedari usaha melakukan pemindahan lokaliti-lokaliti dan pengundi-pengundi dari DUN Kajang ke DUN Bangi sedang dilakukan secara bersembunyi dan menggerak kita menghimpunkan data-data berkenaan.
Isu perpindahan mulai diketengahkan
Adalah menjadi kebiasaan pertemuan antara pimpinan PAS negeri Selangor dengan SPR Selangor diadakan secara tahunan bagi mendapat maklumat dan membincangkan kemusykilan- kemusykilan. Pertemuan kadang-kadang melebihi dari sekali. Maka bagi tahun 2006 pertemuan pertama diadakan pada 2 Februari 2006 di Pejabat SPR Negeri. Ia merupakan pertemuan pertama kali bagi PAS negeri Selangor dengan Pengarah SPR yang baru, iaitu Jailani bin Abdul Majid yang menggantikan Abdullah bin Abdul Rahman, pengarah sebelumnya. Pimpinan Negeri Selangor yang hadir melebihi 10 orang itu diketuai oleh Dato` Dr Hassan Ali Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor.
Penulis selaku salah seorang Timbalan Pesuruhjaya pada masa itu turut sama hadir. Pertemuan yang lebih bersifat berkenalan itu, walau bagaimana bertukar menjadi tegang, apabila penulis menimbulkan wujudnya perpindahan taman, lokaliti dan pengundi dari DUN Kajang kepada DUN Bangi. Suasana agak berlainan dari pertemuan-pertemuan yang pernah kami lakukan semasa SPR Selangor di bawah Pengarah Abdullah bin Abdul Rahman yang selalunya mesra. Selepas dari dibangkitkan soal perpindahan itu, Pengarah SPR yang baru itu, iaitu Encik Jailani menafikan dengan sekeras-kerasnya berlakunya perpindahan taman, lokaliti dan pengundi. Pertemuan berakhir secara tidak selesa.
Membuktikan Berlakunya Perpindahan
Oleh kerana dakwaan penulis berlakunya perpindahan adalah perkara serius hingga mencetuskan pertelingkahan dalam pertemuan di atas, pihak Setiausaha PAS Negeri Selangor, iaitu Haji Yusof Ludin menulis secara rasmi kepada penulis mulai 7 Februari 2006 meminta penulis memberi bukti berlakunya perpindahan taman, lokaliti dan pengundi dari DUN Kajang ke DUN Bangi, bukti dijawab oleh penulis dan diikuti surat yang lain yang meminta penulis melengkapkan bahan dan dokumen hinggalah pada 29 Safar 1427 bersamaan 29 Mac 2006 (PAS BPP.08/3.11( 102)2005- 2007) pihak Setiausaha menulis kepada Pengarah SPR Selangor, Jailani bin Abdul Majid surat dan bukti tentang berlakunya perpindahan. Ditegaskan bahawa hingga ke tarikh berlakunya pengundian Mac 2004 berdasarkan daftar pemilih Disember 2003 menunjukkan bahawa Taman Kajang Raya, Taman Berjaya, Taman Koperasi LLN, Taman Semarak, Taman Pasir Mas dan Taman Kajang Mewah adalah terletak di bawah DUN Kajang, tetapi berdasrkan Daftar Pemilih Tambahan Suku Keempat tahun 2005 menunjukkan bahawa taman-taman berkenaan, lokaliti dan pengundi-pengundi di kesemua tempat ini dipindahkan ke DUN Bangi. Perkara ini menjadi kemusykilan dan pihak PAS Negeri Selangor memohon penjelasan dari Pengarah SPR Negeri Selangor.
Terlalu Lama Untuk Menjawab
Surat yang dihantar oleh pihak Pejabat PAS Negeri Selangor kepada Pengarah SPR Negeri Selangor yang mengutarakan kemusykilan yang berhubung dengan perpindahan taman-taman, lokaliti-lokaliti dan pengundi-pengundi dari DUN Kajang ini mengambil masa yang terlalu lama untuk dijawab oleh Pengarah SPR. Penulis berkali-kali menanya secara lisan terhadap Setiausaha Pas Negeri Selangor tentang jawapan bagi persoalan yang ditimbulkan PAS Kawasan Serdang, tetapi tiada jawapan yang diterima. Sementara ini Pas Serdang dan Hulu Langat mulai bekerjasama bagi menangani bersama persoalan perpindahan yang dihadapi oleh kedua-dua kawasan.
Pada satu peringkat mesyuarat kedua pihak 4 Januari 2007 mengambil keputusan membuat aduan kepada Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, bahawa jawapan mengenai kemusykilan berhubung dengan kemasukan taman, lokaliti dan pengundi dari DUN Kajang Ke DUN Bangi memerlukan jawapan segera dari SPR Negeri Selangor.
Masa diambil terlalu lama dan masih belum berjawab. Pas Kawasan Serdang dan Hulu Langat memohon dari PAS negeri didesak mengambil pendekatan profesional, bahawa segala urusan berhubung dengan perpindahan hendaklah melalui peguam PAS. Dengan ini PAS dapat menunjukkan kepada SPR Negeri tentang keseriusannya mengenai perpindahan dan jika pihak SPR tidak memberi respons sewajarnya pihak PAS Negeri dan Pusat mengambil tindakan mahkamah. Pihak PAS Serdang juga meminta pihak negeri berurusan terus kepada SPR Persekutuan sekiranya pihak negeri terus tidak memberi respons terhadap apa yang ditimbulkan PAS Serdang. Oleh kerana taman-taman yang dipindah dari segi de faktonya dibawah Hulu Langat dan dari segi de jurynya sudah berpindah ke Bangi (sudah digezetkan), maka kedua-dua kawasan berkerjasama bahawa dari segi pentadbiran kawasan berkenaan di bawah Hulu Langat dan dari segi politik dikendalikan oleh Serdang.
Setelah Setahun Baru Turun Jawapan
Berikutan dari desakan-desakan yang telah dibuat dan berikutnya berlaku pertemuan kedua antara pimpinan PAS Negeri Selangor dengan SPR dan perkara perpindahan dibangkit lagi, maka pihak SPR negeri Selangor telah menjawab surat Setiausaha Pas Negeri Selangor, tanpa merujuk kepada bil surat dan tarikh yang dikirim oleh Setiausaha Pas Negeri (29 Safar 1427 = 29 Mac 2006). Surat jawapan SPR Negeri yang dikirim kepada Setiausaha PAS Negeri bertarikh 7 Februari 2007 Ruj. PPRS(0)/PEN/ 51(49), iaitu selepas setahun 5 hari perkara tersebut dibangkit secara lisan, surat ini merujuk kepada pertemuan kedua 2006 dengan SPR yang dikatakan pada 8 November 2006 (perjumpaan ini sebenarnya tidak berlaku, kerana ditangguh oleh SPR sendiri).
Pertemuan sebenarnya ialah pada 22 November 2006, jam 10.00 pagi di Pejabat SPR Negeri, tetapi tidak dihadiri oleh Pengerusi SPR Negeri, Jailani, sebaliknya diwakilkan kepada Timbalan Pengarahnya iaitu Osman bin Dolah dan dihadiri sama dua orang pegawainya, manakala dari PAS Selangor menghantar 10 orang perwakilan. Dalam pertemuan ini soal perpindahan taman, lokaliti dan pengun di Kajang ke Bangi sekali lagi dibincangkan di samping lima persoalan lain, iaitu soal Pendaftar Sementara, aturan pilihanraya, Pengundi Pos, Penggunaan Cop Jari dan aduan-aduan dalam pilihanraya. Pihak Pas merasa tidak puas hati, kerana pertemuan ini tidak dihadiri Jailani dan tidak mencapai sebarang keputusan yang konkrit.
Merujuk kepada surat SPR bertarikh 7 Februari 2007 di atas, walaupun salah rujuk kepada pertemuan yang tidak wujud, tetapi soal perpindahan itu dibangkit, maka surat bertarikh 7 Februari 2007 mengakui bahawa berlakunya perpindahan taman, lokaliti dan pengundi. Pemindahan adalah melibatkan: a) Taman Kajang Raya b) Taman Berjaya c) Taman Koperasi LLN d) Taman Semarak e) Taman Pasir Mas
Bagi kesemua taman-taman ini melibatkan 33 lokaliti yang asalnya berada di P. 101 Hulu Langat, N.25 Kajang, Daerah mengundi Sungai Chua Satu (101/25/08) dipindahkan ke P.102 Serdang, N.26 Bangi Daerah Mengundi Taman Kajang Mewah (102/26/12).
Manakala sebuah lagi Taman, ialah Kajang Mewah melibatkan 7 lokaliti yang asalnya berada di P 101 Hulu Langat, N.25 Kajang Daerah Mengundi Sungai Chua Dua (101/25/06) dipindahkan ke Parlimen P. 102 Serdang, N. 26 Bangi Daerah Mengundi Taman Kajang Mewah (102/26/12). Bagi mewajarkan perpindahan ini disebutkan sebagai `Pembetulan Kedudukan Alamat/Lokaliti` dan juga diistilahkan sebagai `Urusan Belahbahagi Tahun 2005`.
Yang Dipersoalkan
Setelah perpindahan ini berlaku, pakatan secara kolektif antara kawasan-kawasan dan DUN-DUN terlibat diadakan antara pimpinan PAS Serdang dan Hulu Langat, pimpinan PKR Bangi dan Serdang melalui mesyuarat-mesyuarat di adakan dan bersetuju untuk melahirkan bantahan bersama, antaranya melalui sidang akhbar yang diadakan pada Sabtu 07.07.07 di Pejabat PKR Kajang. Kami melahirkan bantahan terhadap tindakan sewenang-wenang SPR memindah taman-taman, lokaliti-lokaliti dan pengundi-pengundi di Sungai Chua DUN Kajang ke Dun Bangi dan mempersoalkan perkara-perkara berikut:
a) Jika dikatakan pemindahan kerana `Pembetulan Kedudukan Alamat/Lokaliti` bererti kawasan pengundian yang melibatkan DUN Kajang dan DUN Bangi Mac 2004 adalah tidak betul. Ini bermakna urusan kerja dalam masa 8-10 tahun sebelum berlaku perubahan tidak dilakukan secara teliti, tetapi berlebihkurang dan cuai! Oleh kerana pengundian telah dilangsungkan atas lokaliti lama di bawah DUN Kajang, tidak sepatutnya dilakukan pemindahan taman, lokaliti dan pengundi, tetapi yang perlu dilakukan ialah perubahan dan penyesuaian sempadan yang silap itu di atas kertas dan peta semata-mata.
b) Pemindahan taman, lokaliti dan pengundi sama sekali tidak boleh diterima dan dibenarkan, kerana taman, lokaliti dan pengundi telah digezet dan yang lebih penting telah dijalankan pengundian di dalam pilihan raya ke 11 (Mac 2004). Pemindahan yang dilakukan bukan satu kawasan yang kecil, tetapi 6 taman dengan jumlah 40 lokaliti melibatkan hampir separuh kawasan Sungai Chua dengan jumlah pengundi yang besar 1,402 (pendaftaran berakhir Disember 2006) dan kini jumlah pengundi ini makin bertambah. Secara senyap mungkin pemindahan akan bertambah lagi. Ini adalah sesuatu yang serius yang melibatkan perubahan geografi, demografi dan boleh merubah peluang kalah menang bagi calon-calon yang bertanding bagi DUN-DUN yang terlibat.
c) Paling penting pemindahan yang dilakukan oleh SPR adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Artikel 113(2)(ii) yang membenarkan perubahan persempadanan hanya boleh dilakukan selepas lapan hingga sepuluh tahun. Perubahan persempadanan terbaru dilakukan pada 1 Mei 2003. Ini bermakna perubahan persempadanan hanya boleh dilakukan oleh SPR pada Mei 2011. Kalau kita teliti tidak ada tercatat di dalam akta pilihan raya sebarang Klaus yang membenarkan SPR meminda sempadan, memindahkan taman, lokaliti dan pengundi secara sewenang-wenang mengikut selera dan kehendak pihak tertentu di luar dari masa yang dibenarkan berlakunya perubahan persempadanan. . Walau apa pun istilah yang dilakukan oleh SPR, sama ada `pembetulan kedudukan alamat/lokaliti` atau `Urusan Belah Bahagi` dan sebagainya dari segi teknikalnya ianya melibatkan pengurangan taman, lokaliti dan pengundi bagi satu kawasan DUN (Kajang) dan pertambahan taman, lokaliti dan pengundi bagi kawasan DUN yang lain (Bangi) dan ini juga melibatkan perubahan peluang bagi yang terlibat dalam pertandingan di dalam pilihanraya.
d) Jika SPR diberi kebenaran merubah, meminda dan mengalih taman, lokaliti dan pengundi sesuka hati di luar dari masa persempadanan semula dibenarkan, maka ianya boleh menimbulkan kekacauan dan hilang kewibawaan akta pilihanraya yang tidak boleh lagi dipercayai dan digunapakai. Sepatutnya sesuatu yang tertulis dan diaktakan semestinya diikuti, bukan mengikut selera, penyesuaian dan kehendak semasa.
e) Apa yang dilakukan oleh SPR dengan melakukan apa yang disebut sebagai `Pembetulan` dan `Belah bahagi` memberi peluang dan sememangnya diambil peluang oleh pihak berkuasa, di dalam hal ini BN, meminda kedudukan persempadanan, taman, lokaliti dan pengundi menurut kepentingan dan peluang parti mereka. Tempat yang kalah atau lemah boleh ditokok tambah dengan tempat yang kuat dengan jumlah penyokong atau mengeluarkan jumlah tidak menyokong keluar dari kawasan/DUN yang terancam hingga mengurangkan ancaman dan risiko kekalahan. Ingat kemenangan diiktiraf, walaupun dengan kelebihan satu undi, apa lagi yang diubah dan dipindah melibatkan beribu-ribu pengundi !
Motif dan Tujuan Perpindahan
Mengapa dipindahkan taman, lokaliti dan pengundi dari Sungai Chua, Kajang (didominasi pengundi Cina) ke DUN Bangi (Lebih didominasi pengundi Melayu). Pemindahan bertujuan:
a) Pihak BN masih tidak berpuashati dengan persempadanan semula 1 Mei 2003, walaupun dengan persempadanan ini telah memberi kemenangan kepada mereka baik di Kajang yang lawan bagi BN (MCA) iaitu PKR yang kalah paling tipis iaitu 2,773 undi dibandingkan dengan calon-calon BA yang lain di Selangor yang kekalahan mereka lebih besar. Begitu juga mereka menang di DUN Bangi yang lawan bagi mereka ialah calon dari PAS. Dengan memasukkan taman-taman, lokaliti dan pengundi dari Kajang (Sungai Chua) diharap dapat mengurangkan majoriti PKR di DUN Kajang, kerana pengundi-pengundi yang dipindahkan banyak memberi sokongan kepada PKR yang calonnya berketurunan Cina. Secara kebetulan calon PKR ini telah tinggal di taman dan lokaliti yang dipindahkan. Dia amat aktif dan rapat dengan masyarakat setempat dan popular di kalangan mereka. Di sebalik dari itu dengan memindahkan pengundi-pengundi dari taman-taman Sungai Chua, mereka mengharap pengundi-pengundi Cina di sini tidak akan memberi undi kepada calon Pas yang bertanding di Bangi. Dengan ini mereka mengharapkan undi calon Pas yang akan bertanding makin merosot. dan undi bagi BN (UMNO) makin meningkat.
b) Mereka mendapati undi pengundi-pengundi Cina di Kajang meningkat dengan berjumlah lebih dari 51%, sedangkan undi Melayu di bawah 49%.
Mereka tidak mau Kajang terlalu didominasi undi Cina, kerana bila satu kawasan baik DUN atau Parlimen didominasi pengundi Cina, mereka mendapat saingin tinggi dari DAP yang mampu mengalahkan MCA. Sebab itu pemimpin-pemimpin MCA menjauhi dari bertanding bagi kawasan yang majoritinya orang Cina bagi mengelak dari risiko kalah. Ini terbukti dari kajian terhadap calon pemimpin MCA bahawa:
`None of them, the president, deputy president, three vice presidents, and youth and wanita chief (who are automatic vice-presidents) – contested in a seat with more than 50% Chinese dominated constituency (The Sun, Tuesday June 26, 2007: 2).
Pemimpin MCA selesa bertanding dan mempunyai peluang tinggi untuk menang di kawasan bercampur yang jumlah pengundi Cina tidak melebihi 50%. Di dalam konteks DUN Kajang MCA yang bertanding bagi kerusi ini mau mempastikan ianya tidak dikuasai DAP atau lain, sebab itu mereka berusaha menurunkan majoriti Cina di Kajang ke bawah dari 50%. Satu cara yang dilakukan ialah dengan memindahkan pengundi Cina Kajang ke Bangi yang secara serampang dua mata boleh mengurangkan majoriti Melayu (65.88%) dan mengurangkan undi yang bakal diperolehi PAS. Walau macam mana diharap tektik kotor yang dilakukan oleh BN ini menyedarkan pengundi Cina untuk memberi undi kepada lawan BN dan makin mengurangkan undi BN (UMNO).
c) Pemindahan pengundi Cina dari taman-taman di Sungai Chua yang majoriti pengundinya dari kalangan pengundi Cina sebagai pengajaran dan ingatan kepada pengundi-pengundi di taman-taman di Sungai Chua yang selama ini memberi sokongan kepada parti lawan dari BN-MCA sama ada DAP dan juga PKR. Mereka diharap menyokong BN sebagai alternative di kawasan majoriti Melayu.
d) Perpindahan pengundi dari taman-taman Sungai Chua di Kajang adalah bertujuan mengurangkan tempat selamat bagi parti lawan – Pas dan meninggikan keselamatan bagi BN. Mereka juga mau menjayakan usaha mereka mau mensifarkan pembangkang. Tapi kita menjangka rakyat tidak rela membiarkan BN bermaharajalela di DUN Selangor tanpa `check and balance` dari pembangkang. Ini dapat dicapai dari kesedaran pengundi yang sepatutnya berstrategi dan menghantar sama suara pembangkang di Dewan Undangan Negeri.
e) Di sebalik perpindahan yang dilakukan oleh SPR dan harapan tinggi bagi BN mendapat kemenangan yang lebih selesa, kita berharap kebalikan harapan itu akan berlaku. Rakyat, khususnya pengundi diharap sedar dengan manipulasi, tektik dan tipu helah BN yang jijik dan kotor. Lantas mereka sewajarnya bangkit menentang penyelewengan dan tipu helah dengan memberi sokongan kepada pihak lawan BN dan memenangkan mereka bagi memberi peluang kepada mereka menunjukkan kemampuan.
Pengakhiran
Kami dari Kawasan dan DUN yang menerima kesan dari perpindahan sama ada dari PAS Serdang, PAS Hulu Langat dan PKR Bangi, Serdang dan PKR Kajang Hulu Langat akan terus membongkarkan penyelewengan dan terus membantah dan menentang ketidakadilan agar amalan demokrasi terlaksana dan perjalanan pilihan raya berlaku secara telus dan jujur.
`Selamatkan Demokrasi, Tegakkan Keadilan`
28 Jamadil Akhir 1428, 13 Julai 2007, -lanh